POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah ‘Geng Boy Arau’ yang aktif melakukan pecah rumah dan curi kereta sekitar Arau sejak sebulan lalu selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita di Alor Setar dan Arau pada semalam dan hari ini.
Penahanan itu turut membabitkan ketua kumpulan atau dalang geng berkenaan yang dikenali sebagai Boy yang mana suspek berusia 47 tahun itu meloloskan diri daripada polis sebelum ditahan sekitar jam 12.30 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya bersama anggota cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis melancarkan Op Lejang/Pintu bagi menahan kumpulan dipercayai terbabit dengan beberapa siri kejadian pecah rumah dan curi kereta sejak awal tahun ini.
“Kita menahan seorang lelaki berusia 28 tahun jam 7.50 malam semalam di tepi Jalan Taman PKNK, Jalan Tun Abdul Razak di Alor Setar berhubung laporan kehilangan Perodua Kelisa di Arau pada Januari lalu dan kereta itu berjaya ditemui di tempat kejadian.
“Siasatan awal terhadap suspek pertama itu membawa polis kepada ketua kumpulan yang juga perancang kepada kecurian kereta itu yang bekerja di sebuah kafe di Arau jam 10.30 malam.
“Pada mulanya, kita mendapati lelaki itu tiada di lokasi namun tatkala polis hendak beredar, kita terserempak dengan suspek sedang memandu Perodua Alza bersama seorang lagi lelaki memasuki perkarangan kafe.
“Polis kemudian memperkenalkan diri dan hendak menahan suspek namun dia bertindak agresif dengan memandu laju dan cuba merempuh anggota yang cuba menahannya dan susulan itu, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah tayar hadapan Perodua Alza dipandu suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, lapor Buletin TV3.
Katanya, walaupun tembakan dilepaskan namun suspek dan rakannya berjaya meloloskan diri menyebabkan polis terpaksa mengejar.
“Tembakan mengenai kedua-dua tayar hadapan kereta menyebabkan ia pancit dan pecah. Suspek terpaksa memberhentikan kereta di kawasan Taman Bersatu di Jalan Batas Liku, Arau kira-kira empat kilometer.
“Suspek utama melarikan diri di kawasan semak samun namun polis berjaya menahan rakannya yang berusia 27 tahun di tempat kejadian hasil bantuan orang ramai di kawasan perumahan itu.
“Ekoran daripada kejadian itu, polis Arau meminta bantuan Unit K9 dari Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk memburu suspek dan soal siasat suspek kedua itu membawa kita ke lokasi ketiga sekitar jam 12.45 tengah malam hari ini di sebuah rumah di Jalan Santan, Kangar yang mana kita menahan seorang wanita dipercayai isteri kepada suspek utama.
“Wanita itu turut mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan berkenaan,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata, pemeriksaan di rumah wanita itu menemui pelbagai barang seperti skrin televisyen, gergaji elektrik, penyembur air dan pelbagai barangan lagi yang dipercayai dicuri.
“Suspek utama akhirnya berjaya dikesan dan ditahan sekitar jam 12.30 tengah hari, hari ini berhampiran kediamannya di Jalan Santan kerana kita memang menjangkakan suspek akan pulang ke rumahnya selepas melarikan diri,” katanya.


