FOKUS
KETIKA internet mula diperkenalkan di Malaysia dan digunakan secara meluas perkataan ‘maklumat di hujung jari’ begitu popular. Apa sahaja boleh diperolehi dengan melayari internet.
Dari semasa ke semasa berikutan ledakan teknologi maklumat, secara perlahan-lahan internet mula menjadi ancaman kepada kehidupan rakyat ni. Internet yang sepatutnya digunakan untuk mengejar kemajuan dan mencapai kejayaan dalam kehidupan hidup telah disalahgunakan.
Akibatnya ketika internet dianggap sumber untuk pembelajaran di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, internet juga dijadikan ‘senjata’ untuk menghuru-harakan masyarakat. Macam-macam berlaku kerana internet, sedangkan internet sama juga seperti pisau – bagaimana kita mahu menggunakannya sama ada untuk kebaikan atau kejahatan.
Begitulah juga internet, masyarakat perlu tahu bagaimana untuk memastikan ia selamat dan boleh memberi manfaat kepada kita. Justeru dalam usaha untuk memastikan rakyat menjadi pengguna yang bijak dan selamat sesuatu perlu dilakukan bagi memberi pendidikan dan menimbulkan kesedaran kepada mereka.
Perkara itu penting kerana internet kini bukan sekadar ‘teman’ orang dewan tetapi juga ‘kawan’ kepada kanak-kanak dan ‘sahabat’ kepada satu keluarga. Maksudnya tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada penggunaan internet.

Oleh itu langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menganjurkan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 pada Ahad ini di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur tepat masanya. Program seumpama ini penting untuk memberi pendidikan dan kesedaran masyarakat di semua peringkat umur berhubung penggunaan internet.
Tambahan pula sekarang wujud pula Artificial Intelligence (AI) – Kecerdasan Buatan yang menyebabkan orang ramai boleh terkeliru antara yang benar dan palsu. Turut tidak terkecuali terdedah kepada AI ialah kanak-kanak.
Berikutan itu melalui HKI 2026, SKMM akan memberi maklumat secara santai bagaimana mahu memastikan teknologi dan AI boleh digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Ia memandangkan dengan pelbagai gejala yang berlaku seperti ancaman bahan-bahan lucah, sindiket penipuan, kes buli siber dan bermacam-macam lagi, kita tidak boleh bergantung kepada undang-undang sahaja menyelesaikan masalah itu, sebaliknya masyarakat perlu disedarkan bahawa semua itu boleh dielakkan jika menggunakan kepintaran dalam berhadapan teknologi dan AI .
Janganlah kita fikir anak kita sudah tahu, janganlah anggap kita sudah benar-benar berhati-hati dan janganlah terlalu yakin kita tidak akan terperdaya atau terpengaruh. Oleh itu masyarakat tidak harus melepaskan peluang mengetahui lebih mendalam mengenai penggunaaan internet secara ‘pintar’ dan ‘selamat’ di HKI 2026.
Tapi jangan pula fikir di HKI 2026 tersebut mereka akan dipaksa ‘perah otak’ untuk mendengar ceramah yang berbentuk teknikal atau disuruh duduk bagaikan patung mendengar leteran penceramah, sebaliknya mereka akan mendengar pocket talk dan perbincanghan santai tanpa bahasa teknikal, menyertai aktiviti interaktif dan menyaksikan pameran keselamatan digital.

Pada masa sama turut diadakan ialah program komuniti dan keluarga, kandungan mesra visual dan media sosial serta pendekatan kesedaran tanpa sensasi.
Di situ mereka akan memahami bagaimana telefon pintar ada risiko senyap,kenapa keselamatan internet menjadi salah satu perkara yang wajib mereka ketahui dan apa yang boleh mereka lakukan untuk memastikan ledakan teknologi AI tidak menyebabkan anak-anak mereka hidup dalam khayalan.
Oleh itu jom beramai-ramai ke HKI 2026! Jadikan Ahad ini salah satu hari minggu paling bermakna kepada anda dan keluarga anda. Ingat pastikan bil internet setiap bulan yang anda bayar memberi manfaat dan bukannya membawa mudarat akibat memandang ringan soal keselamatan internet.


