KERAJAAN bercadang memperluaskan pendidikan al-Quran dan tahfiz di peringkat sekolah rendah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek minggu lalu.
Beliau berkata, perkara itu wajar dilaksanakan berikutan permintaan yang memberangsangkan membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun yang mendapatkan pendidikan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan supaya pembelajaran pra-tahfiz di tadika Kemas dapat dilanjutkan apabila murid memasuki sekolah rendah.
“Kita sedang mengatur supaya penghafazan al-Quran dapat diteruskan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam melalui kurikulum yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.
“Jadi tadika dan tabika Kemas ini akan berperanan sebagai feeder school kepada Kementerian Pendidikan (KPM), iaitu menjadi institusi persediaan awal sebelum murid menyambung pembelajaran di sekolah kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Huffaz Al-Quran Al Karim di Maahad Tahfiz Al Mashrafe, di Gombak hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, selain penekanan terhadap penguasaan penguasaan 3M di sekolah rendah, pihaknya turut meminta supaya kemudahan pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan, termasuk penyediaan peralatan digital seperti TV pintar di tadika dan tabika Kemas.
Beliau turut mencadangkan supaya murid beragama Islam diberi peluang mengikuti kelas tambahan penghafazan al-Quran dari Tahun Satu hingga Tahun Enam sebagai kesinambungan pendidikan pra-tahfiz di peringkat prasekolah.
Ditanya sama ada cadangan akan membabitkan penambahan guru agama, Ahmad Zahid berkata, di tabika atau tadika Kemas, ia tidak membabitkan sebarang tambahan kerana silibus itu sudah dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata di peringkat sekolah rendah, sama ada terdapat penambahan guru agama atau tidak, ia di bawah pertimbangan Menteri Pendidikan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, usaha memperluas pendidikan tahfiz itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya sebagai tanggungjawab dan ikhtiar memperkukuh pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda.
“Diharapkan usaha pembangunan institusi tahfiz ini dapat diperkasakan dan usaha itu mendapat sokongan semua pihak termasuk ulama dan pendidik, demi melahirkan generasi celik al-Quran pada masa depan,” katanya.


