POLIS sedang menyiasat rakaman video tular memaparkan seorang lelaki disyaki mencuri kabel berhampiran lampu isyarat di Bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman berkenaan menerusi platform Threads.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sudah membuat laporan polis berhubung perkongsian di Threads itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan mengusik, mengubah, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian komunikasi atau mana-mana bahagiannya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pengguna Threads, @hamzahazman23, memuat naik video pada jam 4.52 petang semalam yang menunjukkan seorang lelaki menarik objek menyerupai kabel berhampiran lampu isyarat di bawah jejambat Bulatan Kampung Pandan.
Lelaki itu dilihat melakukan perbuatan berkenaan secara terbuka ketika kenderaan masih melalui kawasan terbabit.
Pengguna sama kemudian membuat perkongsian susulan pada jam 5.19 petang dengan mendakwa kabel di lokasi itu sudah dipotong.
Rakaman berkenaan mengundang perhatian pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan lelaki terbabit, khususnya kerana kejadian berlaku di kawasan yang mempunyai aliran trafik sibuk.





