POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki menyimbah cecair dipercayai asid ke arah teman wanitanya sehingga menyebabkan wanita itu melecur dalam kejadian di sekitar PJS 4, Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi dan membabitkan pasangan kekasih yang kedua-duanya warga asing.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan selepas pasangan itu berpisah.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Mangsa dan suspek adalah pasangan kekasih dan kejadian disyaki berpunca akibat putus hubungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri sejurus kejadian dan masih diburu polis, manakala maklumat lanjut mengenai latar belakang lelaki itu sedang dikenal pasti.
Mangsa berusia lingkungan 20-an yang bekerja di sebuah kedai makan mengalami kecederaan melecur dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk proses rakaman percakapan saksi kejadian bagi menjejaki suspek terbabit,” katanya.





