JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 66 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di bandar raya ini, malam tadi.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Gegar bermula jam 10 malam itu melibatkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa negeri dan menyasarkan premis yang baru beroperasi enam bulan lalu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan selama dua minggu, pihaknya menahan seorang lelaki yang dipercayai pengurus premis berusia 38 tahun.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 47 warga Thailand, empat warga Indonesia, Vietnam (tiga), India dan Laos masing-masing lima serta dua lagi dari Filipina dan China berusia lingkungan 21 hingga 51 tahun, yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan.
“Kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, dua keping borang 29, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pendatang tanpa izin serta majikan dan pemilik premis yang masih menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah,” katanya.


