PERBUATAN vandalisme dipercayai menjadi punca tingkap sebuah tren KTM Komuter Utara pecah selepas terkena objek yang dibaling dari luar ketika melalui laluan antara Arau dan Kodiang, semalam.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian kira-kira jam 6 petang itu membabitkan tren nombor 2951 yang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth.
Menurutnya, cermin tingkap di bahagian kiri koc kedua pecah akibat terkena objek berkenaan, menyebabkan pihaknya mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penumpang.
“Sejurus menerima laporan daripada pemandu tren, KTMB mengambil tindakan segera dengan mengosongkan koc terjejas dan mengehadkan akses penumpang sebagai langkah keselamatan.
“Anggota Polis Bantuan KTMB turut digerakkan bagi membantu mengawal pergerakan penumpang dan memastikan keadaan di dalam koc berkenaan terkawal,” menurut KTM dalam kenyataan.
Tren berkenaan meneruskan perjalanan pada jam 6.21 petang selepas langkah keselamatan dilaksanakan, namun mengalami kelewatan selama 21 minit daripada jadual asal.
Set tren itu kemudian ditahan di Depoh Bukit Tengah bagi pemeriksaan serta penggantian tingkap yang rosak sebelum kembali beroperasi untuk perkhidmatan penumpang pada hari berikutnya.
KTMB turut memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu, perbuatan melontar objek ke arah tren bukan sahaja merosakkan aset awam, malah boleh mengancam keselamatan penumpang serta kakitangan kereta api.
“Perbuatan melontar batu ke arah kereta api yang membahayakan keselamatan adalah kesalahan mengikut Seksyen 132 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.
Mengikut peruntukan itu, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seksyen 128 akta sama turut memperuntukkan kesalahan berkaitan kerosakan kereta api, landasan, premis dan harta benda dalam kawasan kereta api, dengan hukuman bergantung kepada jenis kesalahan.
Terdahulu, kejadian itu tular dalam media sosial selepas seorang penumpang berkongsi gambar tingkap tren yang pecah, dengan serpihan kaca bertaburan di tempat duduk dan lantai koc.
Penumpang berkenaan turut mendakwa mengalami pening selepas terkena serpihan kaca, manakala beberapa pengguna media sosial lain berkongsi pengalaman cemas ketika kejadian.





