Pemandu dan penumpang e-hailing parah kereta dihempap pokok tumbang

SEORANG pemandu e-hailing dan penumpangnya parah selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di jalan menghala ke Kolej INTI di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, dalam kejadian itu, pasukan penyelamat mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta.

POKOK tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu e-hailing dan penumpangnya cedera di Jalan Nilai menghala ke Kolej INTI di Negeri Sembilan petang tadi. GAMBAR: IPD Nilai

Menurutnya, polis menerima maklumat melalui sistem MERS NG 999 (RC Melaka) berhubung sebatang pokok tumbang yang menimpa sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki dua lelaki tempatan.

“Sepasukan anggota dari Balai Polis Nilai bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit selepas operasi dijalankan dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa pertama, pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, dipercayai mengalami trauma dan dilaporkan tidak dapat mengingati kejadian yang berlaku.

“Mangsa juga tidak dapat menggerakkan kedua-dua belah kaki dan disyaki mengalami kecederaan atau patah.

“Pemeriksaan lanjut termasuk imbasan sinar-X sedang dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan sebenar,” katanya.

Johari berkata, mangsa kedua, penumpang kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai jurutera Malaysia Airlines, mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala, kecederaan dalaman di bahagian abdomen serta disyaki mengalami patah pada kedua-dua belah tangan.

Katanya, kejadian berlaku ketika hujan lebat melanda kawasan itu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca buruk serta sentiasa peka terhadap persekitaran bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img