SEORANG pekerja maut dipercayai tersepit dalam mesin ketika melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah kilang kertas di Kawasan Perindustrian Bentong, malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong DSP Azmi Mahmod berkata pemeriksaan mendapati mangsa Muhammad Saifulnizam Miskam, 32, yang juga pekerja di kilang itu tersepit di dalam sebuah mesin sehingga tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azmi berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.





