SEORANG wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Sungai Buaya, Hulu Selangor awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa (BBP) dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua Perodua Myvi dan Honda Jazz yang membabitkan empat mangsa.
“Ada dua mangsa dalam kereta Perodua Myvi pertama iaitu seorang lelaki dan wanita. Mangsa wanita yang tercampak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, Perodua Myvi kedua membabitkan seorang wanita yang tersepit serta cedera parah, manakala seorang lagi mangsa dalam Honda Jazz hanya mengalami cedera ringan dan berjaya keluar sendiri.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan jam 7.13 pagi. Mereka kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya.


