Nahas 3 kenderaan di Lebuhraya PLUS: Wanita warga emas maut, dua kenderaan jatuh gaung sedalam 15 meter

SEORANG wanita warga emas maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang mengakibatkan dua daripadanya terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 314 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah petang tadi.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu melibatkan sebuah lori treler membawa muatan batu dan dua buah kenderaan jenis Lexus dan BMW.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.06 petang dan segera menghantar sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke tempat kejadian.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua daripada kenderaan terlibat iaitu lori treler dan kenderaan jenis Lexus telah terbabas ke dalam gaung dengan tiga mangsa di dalam kereta Lexus tersepit.

“Pemandunya, yang berusia 43 tahun dan penumpang di bahagian hadapan berusia 77 tahun mengalami kecederaan manakala mangsa yang duduk di bahagian belakang berumur 71 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sabarodzi, pemandu kereta BMW dan pemandu lori treler tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala warga emas yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img