Tukang paip didakwa bunuh ibu tunggal di Sungai Dua

SEORANG tukang paip didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya di sebuah rumah di Sungai Dua, awal bulan ini.

L Ravinder, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh C Kanagee, 41, di sebuah rumah di Taman Seri Murni antara jam 9.30 pagi hingga 9.41 pagi pada 4 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemukan terbaring di atas katil di sebuah bilik di dalam rumah di Taman Seri Murni dengan kesan kelar pada leher.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img