PENYALURAN bantuan persekolahan RM200 secara bersemuka bertujuan menggalakkan ibu bapa lebih mengambil tahu perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak, bukannya untuk menyusahkan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu juga memberi peluang kepada ibu bapa berinteraksi secara langsung dengan guru bagi mengetahui keadaan serta prestasi anak masing-masing di sekolah.
Menurutnya, tanggungjawab mendidik anak tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah kerana ibu bapa juga perlu memainkan peranan secara aktif.
“Dulu hantar kepada ibu bapa masuk (melalui akaun) bank. Saya tidak bagi. Saya kata, kalau mahu, mesti pergi sekolah. Kerana kita nak ibu bapa juga penuhi tanggungjawab.
“Ibu bapa kena tahu anak mereka belajar atau tidak, nakal atau tidak, buli atau tidak, buat kerja rumah atau tidak. Jadi saya nak ibu bapa datang ke sekolah dan guru beri penerangan tanggungjawab ibu bapa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Yakin MADANI Peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Kompleks Sukan Balik Pulau hari ini.
Anwar berkata, ibu bapa tidak seharusnya melihat keperluan hadir ke sekolah untuk mendapatkan bantuan itu sebagai satu beban, sebaliknya memanfaatkan peluang berkenaan untuk mengetahui perkembangan anak-anak.
Katanya, tempoh persekolahan antara enam hingga tujuh jam sehari sepatutnya mendorong ibu bapa meluangkan sedikit masa untuk bertemu guru dan memahami keadaan anak-anak.
“Kalau mahu dapatkan RM200 itu, mesti datang sekolah. Apalah salahnya?, (datang ke sekolah) Anak kita belajar tiap hari, enam hingga tujuh jam sehari di sekolah. Kita nak datang satu jam, takkan tidak boleh.
“Ada ibu bapa mengadu wah, Perdana Menteri, nak bagi RM200 ringgit pun susah-susahkan kita nak kena pergi sekolah. Kita tahu macam mana susahnya ibu bapa.
“Tetapi tujuan saya nak ibu bapa tahu bagaimana keadaan anak mereka di sekolah, apa kekurangannya. Bagaimana suasana anak-anak mereka belajar dan prestasi anak-anak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menyemai nilai kasih sayang, penghargaan dan rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap guru yang berperanan penting membentuk keperibadian mereka.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pelajar Tingkatan Enam akan menerima bantuan RM2,500 bermula tahun depan bagi menyokong usaha kerajaan memperluas akses pendidikan.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, selain bahasa asing seperti Arab, Jepun serta Jerman bagi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta rakyat supaya tidak menafikan usaha kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup, termasuk menerusi pemberian subsidi petrol RON95 yang disifatkannya antara terendah di dunia.
Katanya, harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter mencerminkan komitmen kerajaan mengurangkan beban rakyat, dengan peruntukan subsidi bahan api itu mencecah RM40 bilion setahun.
“Setiap kali ibu bapa menggunakan kenderaan, menghantar anak ke sekolah, pergi bekerja atau ke kedai, kerajaan turut menanggung sebahagian daripada kos minyak itu.
“Saya jumpa pemimpin-pemimpin ASEAN, pemimpin dunia dan baru ini di Shenzen, orang tanya macam mana harga minyak kita rendah sangat, saya kata kalau kita naikkan nanti akan membebankan rakyat. Jadi, janganlah kata kerajaan tidak buat apa-apa,” katanya.





