POLIS belum bersedia mendedahkan identiti atau lakaran wajah (fotofit) individu yang dipercayai menjadi dalang sindiket penyeludupan dadah membabitkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengelakkan siasatan yang sedang berjalan terjejas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya memahami desakan orang ramai supaya maklumat individu berkenaan didedahkan, namun terdapat pertimbangan operasi dan risikan yang perlu diberi keutamaan.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti individu terbabit dan sedang menjalankan usaha mengumpul bukti serta risikan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Siasatan dan usaha pengumpulan risikan kami perlu dijalankan dengan tahap kerahsiaan tertentu bagi memastikan keberkesanannya.
“Kami tahu siapa individu ini dan dia sudah pun berada dalam radar kami. Terdapat sebab mengapa kami tidak boleh mendedahkan identiti atau mengeluarkan fotofitnya buat masa ini. Tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.
Desakan supaya identiti dan fotofit individu berkenaan didedahkan semakin mendapat perhatian pengguna media sosial yang berpendapat maklumat itu boleh membantu orang ramai menjejakinya.
Setakat ini, seramai 18 individu ditahan bagi membantu siasatan, membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta 11 orang awam.
Hussein dalam pada itu berkata, maklumat berkenaan akan didedahkan pada peringkat siasatan atau pendakwaan yang bersesuaian supaya orang ramai terus mendapat perkembangan kes tanpa menjejaskan usaha polis.
Katanya, pihaknya memerlukan masa dan ruang mencukupi untuk mengumpul bukti serta membina kes yang kukuh terhadap suspek utama dan anggota sindiket lain.
“Keutamaan kami adalah mengumpul bukti mencukupi bagi memastikan mereka yang terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan, berbanding sekadar mendedahkan identiti dalang tanpa dapat mendakwanya.
“Kami menggesa orang ramai supaya bersabar dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan tugas,” katanya.
Kes berkenaan terbongkar susulan rampasan 96.64 kilogram dadah jenis syabu (methamphetamine) bernilai RM4.83 juta, dengan sindiket terbabit dipercayai menyalahgunakan kemudahan penerbangan tentera untuk menyeludup bahan terlarang itu.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





