Pas tidak berpihak mana-mana kem, tidak campur tangan krisis Bersatu

PAS menegaskan parti itu tidak memihak atau berada dalam mana-mana kem, susulan pemecatan pimpinan dan ahli Bersatu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, parti itu juga tidak mencampuri kemelut yang berlaku dalam Bersatu.

“Jika ada yang mengatakan Pas berada di pihak atau kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin, itu adalah tidak benar kerana kita tidak memihak kepada mana-mana pihak atau berada dalam kem mana-mana.

“Bukan hanya dalam Bersatu, parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) pun kita tidak campur tangan, sebaliknya hanya menguruskan parti sendiri.

“Semua kem dan parti dalam PN boleh pergi (datang) di Rusila,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Hayat 24 Jam Cherang di Kota Bharu hari ini, lapor Harian Metro.

Media semalam melaporkan, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Ditanya sama ada kemelut dalam Bersatu turut menjejaskan pelantikan pengerusi baharu PN, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan, ia tidak terjejas.

Takiyuddin turut memaklumkan, Majlis Tertinggi (MT) PN akan mengadakan mesyuarat luar biasa minggu depan bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu gabungan itu.

Menurut beliau, semua perkara berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat terbabit yang dijangka diadakan pada mana-mana hari antara Khamis hingga Ahad.

Pada masa sama, katanya, Pas juga akan mengemukakan calon untuk dilantik sebagai pengerusi baharu PN bagi menggantikan Muhyiddin.

“Setakat ini tarikh sebenar mesyuarat berkenaan belum dimuktamadkan namun akan diadakan antara 19 hingga 21 Februari. Kita akan adakan pada salah satu hari pada tarikh berkenaan.

“Pas juga akan kemukakan calon pengerusi baharu PN kerana kita sudah bersetuju untuk menerajui PN. Siapa calonnya tunggu pada mesyuarat nanti, namun calon kita hanya seorang,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img