Industri kreatif negara catat pencapaian membanggakan – Fahmi

INDUSTRI kreatif negara terus mencatatkan pencapaian membanggakan apabila filem dan animasi tempatan menunjukkan prestasi memberangsangkan dari segi kutipan pawagam serta keupayaan menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata berdasarkan data Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) setakat 8 Okt lepas, sebanyak 17 filem di bawah Skim Wajib Tayang mencatatkan kutipan keseluruhan RM129.86 juta.

Beliau berkata antara filem dengan kutipan tertinggi ialah Tarung: Unforgiven sebanyak RM23.59 juta, Chelot (RM19.12 juta), Polong (RM15.05 juta), Libang Libu (RM14.16 juta) dan Malaikat Malam (RM12.23 juta).

Dalam bidang animasi, beliau berkata Papa Zola The Movie mencatatkan kutipan RM63.84 juta di Malaysia dan lebih RM69 juta di Asia Tenggara setakat Februari 2026, sekali gus memperlihatkan potensi karya tempatan mendapat sambutan di pasaran serantau.

“Pencapaian seperti Mechamato Movie dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut membuktikan keupayaan dan potensi animasi Malaysia menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata kejayaan filem seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatatkan kutipan RM89.06 juta dan Sheriff: Narko Integriti (RM59.50 juta) turut membuktikan keupayaan karya tempatan menjana pendapatan sambil mengetengahkan nilai, budaya serta jati diri Malaysia.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Komunikasi terus memberikan tumpuan kepada pembangunan kandungan tempatan, penghasilan harta intelek, pengembangan pasaran serta peningkatan daya saing penggiat ekonomi kreatif Malaysia.

Fahmi berkata sebanyak 1,677 projek kandungan kreatif tempatan disokong menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekali gus mewujudkan 32,795 peluang pekerjaan.

Dalam usaha menarik pelaburan antarabangsa, Fahmi berkata 175 produksi luar negara memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran bagi tempoh Januari hingga Julai 2026 menerusi inisiatif Malaysia: A Filming Destination & Production Hub.

Antara produksi berkenaan termasuk Lord of the Flies, Mr VIP dan Thunderbolts, manakala kerjasama dengan Hasbro Entertainment, penerbit Transformers, serta Banijay Nordic, penerbit Survivor, turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan pengetahuan dan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai ekonomi kreatif global.

Beliau berkata Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) pula berjaya menarik anggaran pelaburan asing sebanyak RM2.75 bilion bagi tempoh 2013 hingga 2025 serta mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Fahmi berkata industri budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2024, berdasarkan penerbitan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata industri berkenaan turut menyokong guna tenaga seramai 763,100 orang serta merekodkan eksport produk kreatif bernilai RM63 bilion (USD15.45 bilion).

“Di sebalik setiap penerbitan filem, persembahan muzik, produksi kandungan atau acara berskala besar, terdapat rantaian tenaga kerja, perusahaan dan perkhidmatan yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan melalui MyCreative Ventures (MyCV) menyediakan pembiayaan berbentuk pinjaman dan pelaburan ekuiti serta platform akses pasaran menerusi program Kembara RIUH bagi membantu usahawan kreatif mengembangkan perniagaan.

Sebagai contoh, beliau berkata jenama kasut dan fesyen lelaki tempatan, Zeve, yang menerima pembiayaan MyCV mencatatkan hasil RM10 juta pada 2025, dengan jualan bulanan meningkat daripada RM30,000 kepada RM1.1 juta serta pertambahan tenaga kerja daripada seorang kepada 52 orang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here