Kanak-kanak maut, kebakaran di Banting

POLIS mengesahkan kanak-kanak lelaki terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Baiduri, Banting, Kuala Langat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari sebuah bilik di bahagian belakang di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjumpai mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam keadaan rentung.

“Kanak-kanak lelaki itu dipercayai anak kepada penghuni rumah berkenaan yang tiada di rumah ketika kejadian.

“Bomba menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Pada masa sama katanya, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pasukan JBPM dan semua pihak yang terlibat dalam usaha memadam kebakaran dan menangani situasi.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak ditemui rentung, manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Taman Baiduri, Banting.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilapor berkata, panggilan kecemasan diterima pada 4.42 pagi, sebelum pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting ke lokasi.

Katanya, kediaman itu musnah 85 peratus dan terdapat dua mangsa terperangkap iaitu seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui meninggal dunia, manakala seorang lelaki dewasa cedera dan dihantar ke hospital.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img