SEORANG pempengaruh media sosial terkenal di Sibu maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam nahas dengan sebuah treler di Jalan Teng Kung Suk 2, Sibu awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Chen Ding Ding, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas kenderaan jenis Ford Ranger dipandunya terbabas dan merempuh sebuah rangka treler kontena.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang rangka treler yang diletakkan di penghujung jalan berkenaan.
“Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan bahagian hadapan kenderaan mangsa remuk teruk dan terperosok di bawah rangka treler tersebut, manakala mangsa ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya hari ini.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan.
Pasukan penyelamat terpaksa memotong bahagian bumbung kenderaan tersebut untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam timbunan besi.
Bagaimanapun, petugas perubatan dari Hospital Sibu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Zulkipli.
Kejadian tersebut mengejutkan ribuan pengikut mangsa di media sosial yang rata-ratanya meninggalkan ucapan takziah atas pemergian pempengaruh yang cukup dikenali di bandar Sibu.


