MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mengambil tindakan segera susulan insiden seorang penumpang mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di tandas Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pagi tadi.
Dalam kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan dan sudah mengambil tindakan susulan selepas menerima maklum balas daripada penumpang terbabit.
“Kawasan terjejas telah menjalani pemeriksaan menyeluruh dan langkah pembetulan yang sewajarnya telah dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan kemudahan,” menurut kenyataan itu.
MAHB berkata, pihaknya kekal komited menyediakan persekitaran yang selamat, terjamin dan selesa kepada semua pengguna lapangan terbang di seluruh kemudahan kendaliannya.
Terdahulu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dilaporkan mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan jahitan selepas tergelincir di tandas tersebut, pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook, Jamawi berkata, kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA, dipercayai akibat permukaan lantai yang licin.
“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA. Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai.
“Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya.





