Amir Hamzah tunggu tamat penggal senator sebelum putuskan hala tuju

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sehingga tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada 11 Disember ini sebelum mempertimbangkan sebarang keputusan mengenai kesinambungan khidmatnya.

Beliau berkata, buat masa ini, keutamaan adalah memastikan segala mandat dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dapat dilaksanakan sehingga selesai.

“(Perkara) ini bukan rahsia. Saya akan menghabiskan penggal (sebagai Ahli Dewan Negara) pada 11 Disember. Buat masa sekarang, pendekatan saya ialah fokus melaksanakan mandat yang diberikan kepada saya sehingga selesai.

“Apa yang akan berlaku selepas itu, kita lihat dahulu. Ya, fokus saya ialah buat kerja dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Pemerkasaan Ekonomi Maybank di ibu negara hari ini, lapor Bernama.

Mengulas kemungkinan menyambung khidmat sebagai Senator, Amir Hamzah berkata perkara itu belum menjadi keutamaannya dan hanya akan dipertimbangkan selepas tempoh semasanya berakhir.

“Saya rasa kita buat macam itulah. Bagi habis kerja itu dulu. Itu yang penting,” katanya.

Amir Hamzah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 12 Disember 2023 sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II.

Penggal pertama beliau sebagai Senator akan berakhir pada 11 Disember ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here