POLIS sedang mengesan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian curi tabung di Masjid Seksyen 7 di Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam membabitkan sekumpulan suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza berwarna perak.
“Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut diterima kira-kira jam 10.36 pagi semalam daripada seorang saksi iaitu lelaki tempatan berumur 30-an bekerja sebagai pengawal keselamatan masjid.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati masjid tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kejadian dari pihak pengurusan masjid bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramsay, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dilakukan.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-223 6697 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-5520 2222 bagi membantu siasatan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, dan juga boleh dikenakan denda.
Tambah beliau, jika kesalahan kedua pelaku hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.


