MAYAT seorang lelaki warga tempatan yang dilaporkan lemas ketika memancing di Sungai Kampung Parit Bugis, Pontian, pagi semalam ditemukan jam 10.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, mayat warga tempatan, Tan Siang Fook berusia 65 tahun ditemukan jam 10.30 malam tadi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, mangsa dijumpai terapung di tebing sungai ke arah Pontian Besar oleh beberapa warga tempatan yang keluar membantu mencari mangsa yang keluar menaiki bot jam 9.30 malam.
“Pemeriksaan awal, mangsa berpakaian lengkap dan tiada sebarang kecederaan luaran, mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, kehilangan mangsa disedari oleh orang ramai apabila menjumpai seorang kanak – kanak lelaki ditemui bersendirian di jambatan Kampung Parit Bugis yang memaklumkan bapanya jatuh ke sungai.
Hadzrat berkata, kanak-kanak berkenaan dikenali Chong Hao Chen berusia sembilan tahun ditemui orang ramai di jambatan berkenaan dengan pakaiannya basah.
“Difahamkan mangsa dikenali Tan Siang Fook @ Albert Tan, 65, bersama Chong Hoa Chen (anak angkat mangsa ) keluar memancing dari Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam Kayu Ara Pasong pada jam 8 pagi semalam.
“Bagaimanapun dalam jarak 800 dari jeti berkenaan bot berenjin 20 kuasa kuda yang dinaiki melanggar kayu melintang di tengah sungai menyebabkan mereka berdua jatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hadzrat berkata, akibat kejadian itu, seorang dari mereka, Chong Hoa Chen (anak angkat mangsa) berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut berpaut pada bot yang dinaiki hingga ke tebing sungai.
Katanya, SAR dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Angkatan Pertahanan Malaysia.
“Kanak – kanak yang terselamat diserahkan kepada waris terdekat, manakala pihak Hospital Pontian turut dimaklumkan kejadian berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan ketika menjalankan sebarang aktiviti di air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.


