Mayat wanita ditemukan dalam kereta di stesen minyak Paya Terubong

SEORANG wanita dipercayai menghadapi masalah mental ditemukan maut dalam kereta miliknya yang diparkir di sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong, Georgetown malam tadi.

Ketika ditemukan mayat wanita berada di tempat duduk pemandu bersama pelbagai barangan sehingga hampir memenuhi ruang dalam keretanya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Khairul Annuar Mohd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.48 malam.

Katanya, maklumat awal diterima adalah bantuan pasukan penyelamat untuk membuka pintu kereta Perodua Myvi yang berkunci daripada dalam.

“Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk membuka pintu kereta berikutan bahagian dalam kenderaan dipenuhi barangan.

“Wanita berkenaan ditemukan selepas cermin tingkap bahagian penumpang belakang dipecahkan. Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Harian Metro.

Difahamkan, pelbagai barangan ditemukan dalam kereta ketika pemeriksaan polis termasuk pakaian, bantal, kotak, beg, makanan serta sejumlah dadah.

Hasil pemeriksaan lanjut pasukan forensik di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dikesan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tujuan lanjut.

Sementara itu, ibu wanita itu berkata, dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan anaknya ditemukan meninggal dunia dalam kereta pada jam 8.30 malam.

Menurut wanita itu, anaknya yang berusia 38 tahun itu dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental dan telah menerima rawatan di klinik hampir 10 tahun.

“Keadaannya yang kurang sihat menyebabkan dia gemar menyimpan pelbagai barangan di dalam kereta seolah-olah tinggal di dalam kenderaan itu, namun sebenarnya dia tetap pulang ke rumah setiap hari. Setiap hari dia pulang ke rumah seperti biasa, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kejadian sebegini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img