SEBUAH kereta yang parkir di tepi jalan di Kampung Temerloh, Kuala Ketil di Baling, musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kereta itu pada jam 3.19 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota BBP Baling membabitkan pegawai bersama enam anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira 20 minit kemudian namun hasil pemeriksaan mendapati, tiada mangsa dilaporkan berada dalam kenderaan itu.
“Kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan itu dan terus menghubungi pihak bomba untuk membantu memadam kebakaran itu.
“Setakat ini, tiada pemilik kereta terbabit di lokasi dan difahamkan, kenderaan itu berada di lokasi sejak semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk rekod, sepanjang tempoh sejak 1 Januari lalu, sebanyak 13 kes kebakaran kenderaan dilaporkan di daerah itu ketika tempoh cuaca panas dan kering.
Zulkhairi berkata, daripada jumlah itu, kes kebakaran yang berlaku di jalan raya adalah sebanyak 11 kes, manakala dua kes lagi membabitkan kereta yang turut musnah dalam kejadian kebakaran rumah.
“Antara kebakaran kenderaan itu membabitkan 11 sebuah kereta persendirian, sebuah bas henti-henti yang terbakar dan sebuah kebakaran traktor.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu sama ada membabitkan kematian (kemalangan jiwa) atau kecederaan tetapi hanya membabitkan struktur kenderaan yang kebanyakannya musnah 100 peratus kebakaran yang dipercayai bermula pada bahagian enjin kenderaan, ” katanya.
Zulkhairi turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya menyelenggara enjin kenderaan masing-masing secara berkala dan langkah terbaik adalah dengan menyimpan sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api di dalam kenderaan bagi tindakan awal sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.


