DUA rumah termasuk sebuah kuarters Klinik Kesihatan Tongod musnah dalam kebakaran di Tongod, awal pagi tadi.
Turut terbakar dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu ialah sebuah kereta pacuan empat roda.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.40 pagi sebelum menghantar sepasukan enam anggota ke lokasi terbabit.
Katanya, bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke lokasi itu yang terletak sejauh 172 kilometer (km) dari balai.
“Rumah kuarters dua pintu yang menempatkan kakitangan klinik kesihatan terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah milik penduduk kampung terbakar kira-kira 25 peratus.
“Kita turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Sagoun dengan operasi memadam api menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi di Kinabatangan, lapor Berita Harian.
Hairi berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan pada jam 7.58 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Difahamkan, kuarters terbabit dihuni seramai enam orang, manakala sebuah lagi rumah didiami lima penduduk.


