Kucing kesayangan baka Mainecoon mati diserang anjing bertuan, pemilik mahu keadilan

SEORANG pemilik kucing baka Mainecoon diberi nama Tangerine mahu menuntut keadilan  selepas haiwan kesayangannya mati diserang beberapa ekor anjing di lorong belakang rumahnya di Taman Impian Emas, Johor Bahru.

Puteri Saidatul Syahrina Abdul Hamid, 37, berkata, kejadian itu hanya disedarinya selepas menerima panggilan kakak iparnya yang memintanya melihat satu video dalam kumpulan WhatsApp penduduk taman kira-kira jam 9.34 pagi, kelmarin.

“Saya tak perasan pada awalnya. Bila kakak ipar telefon dan suruh tengok video, saya buka… ya Allah, memang kucing saya. Masa itu kucing saya sudah mati,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus. 

Menurut Puteri, suaminya segera ke lokasi kejadian yang hanya beberapa rumah dari kediaman mereka sebelum mendapati bangkai kucing sudah diletakkan dalam beg kertas oleh penduduk setempat.

Kucingnya itu kemudian dibawa pulang dan dikebumikan di rumah mereka.

Namun, kejadian tersebut tidak terhenti di situ, apabila pengawal keselamatan taman memaklumkan lokasi pemilik anjing yang dipercayai terlibat.

“Saya dengan suami kemudian meninjau rumah berkenaan sebelum bertemu pemilik anjing tersebut dan nampak lebih daripada tiga ekor, beberapa daripadanya sama seperti dalam video serangan,” katanya.

Menurutnya, ketika pertemuan dengan pemilik anjing, wanita itu pada awalnya menafikan haiwannya keluar rumah sebelum mendakwa anjing tersebut terlepas kerana pintu pagar automatik lambat tertutup.

“Bila ditanya, dia kata anjing peliharaannya jinak dan mungkin hanya ingin bermain, lalu saya tunjuk video dan jelas sekali kucing saya diserang sampai mati, bukan bermain.

“Dia juga mengaku anjing itu asalnya anjing liar yang diambilnya dan mungkin tidak biasa dengan persekitaran rumah baharu. Tapi bila dia kata anjing itu terlepas, saya tak puas hati kerana penjelasannya macam tak masuk akal,” ujarnya.

Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti polis,
serta mengemukakan aduan kepada Jabatan Veterinar Malaysia dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi tindakan lanjut.

Menurut Puteri, pihak veterinar memaklumkan pemeriksaan biasanya tertumpu kepada status vaksinasi dan kesihatan haiwan, manakala pihak MBIP akan meneliti isu lesen pemilikan anjing serta pematuhan syarat di kawasan perumahan.

Namun setakat ini, katanya, dia masih belum menerima sebarang perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa.

Dia turut melahirkan kebimbangan kerana kejadian berlaku di kawasan perumahan berpagar yang dianggap selamat dan mempunyai kawalan keselamatan.

“Saya bukan nak viralkan sesiapa, cuma terkilan dan mahu ada tindakan. Kalau hari ini kucing saya, esok mungkin jiran atau kanak-kanak pula kena serang.

“Saya cuma mahu perkara ini dipandang serius supaya tak berulang kepada orang lain,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img