JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludup dua kontena membawa muatan minuman keras bernilai hampir RM1.9 juta termasuk cukai menerusi operasi di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada 7 Januari lalu.
Kegiatan penyeludupan itu gagal berikutan barangan dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Tenggara itu tidak membuat pengikraran pada borang manifes, sekali gus mendorong tindakan sitaan terhadap kontena dibuat bagi pemeriksaan lanjut.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, pemeriksaan menemukan 96,000 tin minuman keras jenis bir disyaki tidak berkastam bernilai RM1.873 juta.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, barangan disyaki dari sebuah negara di Asia Tenggara dan dipercayai diimport sebuah syarikat tempatan itu tidak mempunyai pengikraran manifes kepada pihak kastam.
“Siasatan juga menunjukkan semua barangan dibawa masuk ke dalam negara bagi jualan di pasaran tempatan.
“Minuman keras diklasifikasikan barang larangan import dan masing-masing tertakluk di bawah Butiran No 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM negeri di Bagan Jermal, Butterworth hari ini.
Rohaizad memberitahu, tindakan tidak mengikrar barangan antara modus operandi bagi mengelak dikesan kastam.
“Kita turut menahan seorang wanita yang juga ejen perkapalan berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes ini tambah beliau, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.


