SEORANG lelaki yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mencederakan seorang tukang urut menggunakan sepana dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.
Adam Muhammad, 37, didakwa di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Sani.
Dia yang juga penganggur dituduh menggunakan sepana sepanjang kira-kira 40 sentimeter, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian mangsa, lapor Berita Harian.
Adam didakwa melakukan kesalahan itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini pada kira-kira jam 8.15 malam, Selasa minggu lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Adam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan merayu agar dibenarkan ikat jamin atas alasan beliau baru sahaja menamatkan hukuman penjara selama setahun.
Tambahnya lagi, kejadian itu berpunca daripada pertikaian peribadi.
“Isteri saya berkahwin dengan lelaki itu (mangsa) tanpa terlebih dahulu bercerai (dengan saya),” katanya dari kandang tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi bagaimanapun membantah jaminan dan menjelaskan rakaman CCTV jelas menunjukkan tertuduh membawa sepana ke tempat kerja mangsa.
“Dia kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian. Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan memerlukan beberapa jahitan,” katanya.
Azrol menolak permohonan jaminan dan sebutan semula kes pada 14 Mei nanti.


