POLIS sudah menahan suspek yang melepaskan tembakan terhadap kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini proses soal siasat sedang dijalankan.
“Kita sudah buat tangkapan tak sampai 24 jam. Sekarang sedang berlaku proses soal siasat,” katanya tanpa memperincikan jumlah tangkapan dibuat.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin penjelasan mengenai isu keselamatan pegawai kerajaan di sempadan sebagaimana kes tembakan terhadap kenderaan seorang Komander AKPS di Bukit Kayu Hitam semalam.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution memberi jaminan aspek keselamatan kakitangan yang bertugas di sempadan akan menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau berkata, banyak ancaman terkait sempadan antaranya merangkami jenayah rentas sempadan, penyeludupan senjata, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia, pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah bersindiket
“Segala usaha ingin memastikan agensi bertanggungjawab di pintu sempadan dan berdepan dengan pelbagai ancaman.
“Kerana itu semalam juga saya keluarkan kenyataan jelas, kita tidak akan tunduk terhadap sebarang ancaman yang berlaku,” tegasnya.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan melepaskan beberapa das tembakan.
Mohd Nasaruddin dilantik sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025.
Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Ketua Staf Pasukan Petugas Khas Eastern Sabah Security Command (Esscom).
Polis percaya serangan itu untuk menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan.


