Tragedi Ramadan: ADUN Dong sedih kejadian menimpa keluarga, sifatkan arwah seorang yang mesra

INSIDEN menimpa keluarga seorang peniaga, Allahyarham Mohd Alawi Mohammad yang maut bersama isteri dan tiga anaknya dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat di Ulu Dong, Raub awal pagi ini sungguh meruntun jiwa bukan sahaja penduduk di kawasan itu malah rakyat negara ini.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau mengenali arwah sudah lama dan apa yang menyedihkan kali terakhir beliau berjumpa adalah pada hari pertama Ramadan ketika datang ke Bazar Ramadan di pekan Dong tempat arwah berniaga.

“Ketika meninjau bazar Ramadan pada hari pertama puasa, arwah meluru ke arah saya dan bersalam. Ketika itu dia dilihat begitu ceria.

“Saya kenal arwah sudah lama. Arwah seorang yang mesra dan saya sedih dengan kejadian yang menimpa dia dan keluarganya.

“Kebetulan kami bergambar bersama di bazar berkenaan. Oleh itu marilah kita berdoa semoga ahli keluarga arwah dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT untuk menempuhi ujian yang cukup besar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang turut berkongsi gambar pertemuan terakhir beliau dengan Allahyarham Mohd Alawi di bazar itu.

Dalam kejadian awal pagi ini, Allahyarham Mohd Alawi bersama isteri dan tiga anaknya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat.

Empat ahli keluarga Mohd Alawi yang terkorban ialah isterinya, Zaleha Ibrahim, 45, dan tiga anak mereka iaitu Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9, dan kesemua mereka dilaporkan maut dalam kebakaran jam 3.45 pagi.

Anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 4.15 pagi dan kebakaran dapat dikawal jam 4.48 pagi.

Kebakaran turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img