IMPIAN seorang wanita untuk meraih keuntungan lumayan melalui pelaburan saham bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM281,700 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian.
Mangsa berusia 40 tahun yang juga seorang peniaga dipercayai terjerat dengan skim pelaburan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Encik Mike’ menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, suspek menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat bagi meyakinkan mangsa menyertai pelaburan berkenaan.
“Susulan itu, mangsa melakukan lapan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek kononnya untuk urusan pelaburan saham.
“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM281,700,” katanya.
Menurutnya, mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan apabila diminta memulangkan keuntungan yang dijanjikan.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri kelmarin,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.


