SEBANYAK 61 gerai di Medan Selera Jalan 223, Petaling Jaya terjejas akibat banjir kilat berulang yang didakwa semakin teruk sehingga menjejaskan operasi serta menyebabkan kerugian kepada peniaga, petang tadi.
Seorang peniaga, Normawati Shamsudin, 45, berkata, kejadian kali ini menyebabkan air naik sehingga paras lutut di dalam premis walaupun penghadang banjir telah dipasang.

“Air tetap masuk walaupun ada ‘flood barrier’. Dalam premis pun dah paras lutut dan memang tak sempat nak selamatkan barang.
“Kalau tengok keadaan sungai belakang, memang dah macam laut. Depan pula jadi macam sungai, air sangat deras dan bahaya,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku, malah sudah empat kali dalam tempoh tiga hingga empat minggu kebelakangan ini.
“Memang kerap sangat berlaku. Kita dengar mungkin ada kaitan dengan pembinaan di belakang, tetapi itu kena siasat,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Mardiyanti berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas menerima maklumat daripada rakan peniaga sebelum bergegas ke premis dalam keadaan hujan lebat.

“Sampai sini air dah paras dada di luar, masuk dalam kedai pun tinggi (paras leher). Barang semua tak sempat selamatkan, banyak yang rosak termasuk peti ais, freezer dan peralatan elektrik,” katanya.
Menurutnya, kerugian dianggarkan sekurang-kurangnya RM500 bagi barang basah sahaja, tidak termasuk kerosakan peralatan lain.
Katanya, situasi kali ini lebih teruk berbanding banjir yang berlaku tiga minggu lalu yang berlarutan selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, peniaga turut meluahkan kekecewaan terhadap pihak berkuasa tempatan yang didakwa lambat mengambil tindakan walaupun aduan telah dibuat.
“Ada wakil persatuan jumpa pihak berkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ), mnta sediakan ataupun letakkan amaran-amaran banjir jika berlakunya air naik.
“Selain itu, minta bantuan dan kelonggaran sewa, tetapi setakat ini belum ada apa-apa tindakan jelas.
Peniaga turut meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa tiada wakil pihak berkuasa atau pemimpin tempatan turun padang meninjau keadaan sepanjang beberapa kejadian banjir sebelum ini.
“Tak ada seorang pun yang turun tengok keadaan kami, macam mana nak cuci, macam mana nak hadap kerosakan. Lepas banjir bukan senang, lumpur semua memang susah nak bersihkan.
“Kami bukan minta bantuan pun, tetapi sekurang-kurangnya datanglah tengok keadaan,” katanya.
Katanya, kebanyakan peniaga mengalami kerugian besar susulan kerosakan barangan dan peralatan, malah ada yang mendakwa isu mereka hanya mendapat perhatian selepas tular di media sosial.
“Kalau tak viral, memang senyap saja. Bila dah masuk berita, barulah ada pihak atasan tanya, itu pun setakat bertanya saja,” katanya.
Peniaga berharap tindakan segera dapat diambil termasuk penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir berulang yang bukan sahaja menjejaskan perniagaan, malah membahayakan keselamatan.


