MALAYSIA menzahirkan solidariti dan mendoakan semua pihak yang terkesan akibat konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berharap agar keamanan, keadilan dan kestabilan dapat dipulihkan semula di rantau itu.
“Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan, serta berharap agar keamanan, keadilan dan kestabilan dalam segera dipulihkan di Asia Barat,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.
Situasi di Asia Barat terus tegang apabila Iran melancarkan serangan berterusan di pangkalan tentera AS di beberapa negara Arab sehingga awal pagi tadi.
Keadaan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel semalam di beberapa wilayah di Iran antaranya di Tehran, Isfahan dan Qom yang mengakibatkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh setelah rumahnya disasarkan.
Manakala tentera Israel pula mengumumkan satu lagi siri serangan udara yang menyasarkan sistem peluru berpandu balistik serta sistem pertahanan udara Iran, dalam kempen ketenteraan yang semakin diperluas terhadap Republik Islam itu.
Ketegangan antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat kini berada pada tahap sangat tinggi, dan pengumuman ini meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan eskalasi konflik yang lebih besar di Asia Barat dalam hari-hari akan datang.


