Polis sita kilang kayu balak haram bernilai RM5.17 juta

KEGIATAN sebuah premis memproses kayu hutan secara haram di Kampung Lubok Bongor, Jeli, Kelantan tumpas dalam satu operasi bersepadu menyaksikan rampasan kayu balak bernilai lebih RM5 juta, kelmarin.

Operasi sekitar jam 5.40 petang itu dilakukan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menyita pelbagai mesin pemprosesan dan longgokan kayu balak yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM5.17 juta.

Dua wanita tempatan berusia 38 dan 40 tahun yang bekerja sebagai kerani dan pegawai kawalan kualiti (QC) kilang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti memotong dan memproses pelbagai jenis kayu hutan tanpa sebarang dokumen atau permit sah.

“Pasukan serbuan merampas sebuah jentera Caterpillar, sebuah jentera kuning, sebuah generator 200KW, serta tujuh mesin gergaji yang dianggarkan bernilai RM570,014.

“Turut disita adalah pelbagai longgokan kayu balak pendek dan bulat yang dianggarkan bernilai RM4.4 juta,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Rosli, dua pekerja wanita serta barang kes dirampas telah diserahkan kepada Pegawai Pemeliharaan Hutan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut pada jam 11.56 malam hari yang sama.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

Mengulas lanjut, Rosli menegaskan bahawa kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain dalam memelihara khazanah hutan negara.

“Pasukan Simpanan Persekutuan komited untuk terus bekerjasama dalam melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu haram.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img