MALAYSIA hari ini menggesa Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran agar menghentikan segala tindakan provokatif dan melancarkan gencatan senjata segera tanpa syarat susulan serangan yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengemukakan gesaan tersebut mahu tiga negara itu kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.
Katanya ini kerana sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung.
“Gencatan senjata yang segera dan tanpa syarat adalah keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang kini mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
“Malaysia dengan tegas menggesa Israel, AS dan Iran supaya menghentikan segala tindakan provokatif dan kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama AS melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, sekali gus mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran dan memaksa pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi rahsia.
Menurut media rasmi Iran melaporkan Ali Khamenei, 86, kemudiannya terbunuh susulan serangan udara yang didakwa dilancarkan AS dan Israel, dengan kompleks kediamannya di Tehran dilaporkan menjadi sasaran utama operasi ketenteraan berkenaan.
Selain itu, serangan Israel-AS yang menyasarkan sebuah sekolah di Iran menyebabkan kematian seramai 108 pelajar.


