Rejim Zionis tutup laluan masuk ke Gaza, penghantaran bantuan terjejas

ISRAEL telah menutup laluan masuk ke Semenanjung Gaza yang dilanda perang pada hari Sabtu — laluan yang amat penting untuk penghantaran bantuan kemanusiaan serta membolehkan pesakit yang memerlukan pemindahan perubatan keluar .

Rejim Zionis tetap melakukan tindakan berkenaan walaupun sekatan terhadap bantuan yang memasuki wilayah itu sudah pun sangat ketat selepas dua tahun pembunuhan beramai-ramai dan dalam keadaan gencatan senjata yang rapuh, ketika tentera Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran.

Penutupan itu termasuk lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir, yang baru dibuka semula pada awal Februari untuk membolehkan sejumlah kecil rakyat Palestin melintas buat pertama kali dalam beberapa bulan, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan perubatan segera.

Human Rights Watch dalam laporan Februari menyatakan bahawa sekatan Israel terhadap bantuan terus menyebabkan kekurangan ubat-ubatan, peralatan pembinaan semula, makanan dan air di dalam Gaza.

Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) Israel dalam kenyataannya mengenai penutupan lintasan Gaza mendakwa bahawa makanan yang dihantar ke Gaza sejak bermulanya gencatan senjata mencukupi untuk memenuhi empat kali ganda keperluan penduduk, tanpa mengemukakan bukti.

Ia menyatakan bahawa “stok sedia ada dijangka mencukupi untuk tempoh yang panjang.”

Mereka  juga mengumumkan bahawa pertukaran kakitangan kemanusiaan ke Gaza akan ditangguhkan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan bantuan yang sudah pun bergelut untuk mengekalkan operasi mereka.

Minggu lalu, Ismail Ibrahim al-Thawabta, Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, berkata Semenanjung Gaza “berdepan petunjuk krisis kemanusiaan yang semakin meruncing jika sekatan terhadap bantuan berterusan.

Tanggungjawab untuk mencegah krisis ini terletak pada kuasa penjajah, yang mengehadkan bekalan kemanusiaan dengan jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta kewajipannya terhadap penduduk awam.”

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap akses bantuan kemanusiaan ke Gaza. Gencatan senjata itu menetapkan bahawa “bantuan penuh akan segera dihantar ke Semenanjung Gaza.” Namun realiti di lapangan kekal jauh berbeza.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, dari 10 Oktober 2025 hingga 10 Februari 2026 hanya 31,178 trak memasuki Gaza daripada 72,000 yang diperuntukkan, dengan purata 260 trak sehari. Itu hanya 43 peratus daripada jumlah yang ditetapkan.

Menurut pemandu-pemandu trak, penghantaran bantuan menghadapi kelewatan ketara, dengan pemeriksaan Israel mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

Selain itu, Israel telah menyekat barangan makanan penting dan berkhasiat termasuk daging, produk tenusu dan sayur-sayuran yang penting untuk diet seimbang. Sebaliknya, makanan kurang berkhasiat seperti snek, coklat, kerepek dan minuman ringan dibenarkan masuk.

Rejim Zionis  juga mengharamkan 37 kumpulan bantuan daripada beroperasi di Gaza yang dilanda perang, Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki bermula 1 Mac — satu langkah yang digambarkan berpotensi membawa kesan buruk kepada rakyat Palestin.

Majoriti besar daripada lebih 2 juta penduduk Gaza bergantung kepada kumpulan bantuan untuk makanan, air, penjagaan kesihatan, tempat perlindungan dan keperluan asas lain selepas perang lebih dua tahun oleh Israel memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img