SEORANG pelajar lelaki di sebuah institusi pendidikan cedera dipercayai akibat dipukul dua pelajar senior di Pekan, Pahang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Zaidi Mat Zin berkata, polis menerima laporan kes membabitkan mangsa yang berusia 16 tahun itu pada jam 1.05 petang kelmarin.
Katanya, berdasarkan laporan, mangsa dipanggil dua pelajar senior untuk datang ke bahagian belakang bengkel institusi itu pada jam 4 petang, Selasa lalu.
“Sewaktu berada di belakang bengkel, tiba-tiba mangsa dipukul beberapa kali dan ditolak dua suspek yang berusia 19 tahun.
“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian leher kiri, dada kiri, lengan kiri dan lutut kanan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Zaidi, siasatan lanjut mendapati punca kejadian akibat tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang tidak memohon maaf kepada tenaga pengajar atas kesalahan menghisap rokok elektronik di kawasan institusi pendidikan berkenaan.
Beliau berkata, polis merakam keterangan mangsa dan dua suspek terbabit manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


