Krisis Asia Barat: Perdasama gesa PMKS diperkukuh hadapi cabaran

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menggesa agar dasar-dasar ekonomi negara terus diperkukuh bagi membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini menghadapi cabaran berikutan perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat.

Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon berkata, ketegangan geopolitik di rantau tersebut khususnya yang melibatkan laluan strategik Selat Hormuz, dijangka memberi implikasi besar kepada ekonomi global dan perdagangan dunia.

Menurutnya, Selat Hormuz merupakan salah satu laluan maritim paling penting di dunia di mana hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas global melalui kawasan tersebut setiap hari.

Katanya, sebarang gangguan terhadap laluan ini akan memberi kesan langsung kepada harga tenaga dunia, kos pengangkutan dan rantaian bekalan antarabangsa.

“Dalam konteks Malaysia, perkembangan ini telah mula memberi tekanan kepada sektor PMKS, khususnya dari sudut peningkatan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah, kos logistik yang lebih tinggi serta tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

“PMKS yang bergantung kepada import bahan mentah, pengangkutan antarabangsa dan tenaga akan merasai kesan ini dengan lebih cepat berbanding syarikat besar yang mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, kata beliau, Perdasama berpandangan bahawa setiap krisis juga membuka ruang kepada peluang baharu dalam sektor keusahawanan strategik yang wajar diteroka oleh usahawan tempatan.

Pertama menurutnya, peningkatan harga minyak dan gas dunia akibat ketidaktentuan geopolitik memberi isyarat jelas bahawa industri tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui perlu diperkasakan.

Usahawan PMKS perlu melihat peluang besar dalam sektor seperti tenaga solar, penyimpanan tenaga, teknologi kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga alternatif. Permintaan terhadap teknologi ini dijangka meningkat apabila negara dan industri berusaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil yang terdedah kepada risiko geopolitik.

Kedua, krisis global ini memperlihatkan kepentingan ketahanan rantaian bekalan dan sektor logistik domestik. Kebergantungan yang tinggi kepada syarikat logistic luar negara menjadikan banyak industri tempatan terdedah kepada gangguan global.

Justeru, Perdasama menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sektor logistik, pergudangan, pengurusan rantaian bekalan, pengangkutan dan teknologi logistik digital bagi mengukuhkan keupayaan negara mengurus perdagangan dan bekalan secara lebih berdaulat.

Ketiga, tambah beliau, konflik global juga mengingatkan kita tentang kepentingan keselamatan makanan negara (food security). Sekiranya Malaysia mempunyai kapasiti pengeluaran makanan yang mencukupi, sebarang gangguan geopolitik di mana-mana rantau dunia tidak akan menjejaskan bekalan makanan negara. Malah, Malaysia berpotensi menjadi pengeksport makanan kepada negara-negarayangterjejas akibat konflik dan krisis global.

“Perdasama berpandangan bahawa sektor pertanian moden, perikanan, agro-makanan dan industri asas tani tidak lagi boleh dilihat sebagai sektor ekonomi kelas kedua. Hakikatnya, banyak negara maju seperti Belanda, Australia dan New Zealand telah membuktikan bahawa sektor pertanian berteknologi tinggi mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara serta eksport global.

“Kerajaan Malaysia sejak sekian lama telah memberi penekanan terhadap pembangunan sektor pertanian dan industri makanan, namun penyertaan usahawan tempatan, khususnya generasi muda, masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

“Untuk itu, Perdasama menyeru agar usahawan PMKS melihat sektor ini sebagai industri strategik masa depan yang bukan sahaja menjamin keselamatan makanan negara tetapi juga mampu menjana nilai ekonomi yang tinggi melalui penggunaan teknologi moden, automasi dan inovasi,” kata beliau.

Sehubungan itu, Mohd Azamanizam menggesa agar dasar-dasar ekonomi negara terus memperkukuh daya tahan PMKS melalui sokongan terhadap tenaga baharu, pembangunan logistik tempatan, teknologi rantaian bekalan serta pengembangan industri agro-makanan berteknologi tinggi.

Tambah beliau, krisis geopolitik global tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai ancaman. Dengan strategi yang tepat, Malaysia dan komuniti PMKS mampu menjadikannya sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaulat dan mampan.

Menurutnya lagi, Perdasama komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, agensi berkaitan serta pemain industri dalam memastikan usahawan tempatan bersedia menghadapi cabaran global serta memanfaatkan peluang ekonomi baharu yang muncul daripada perubahan landskap geopolitik dunia.

“Krisis global menuntut kita berfikir secara strategik, membina ekonomi yang lebih berdikari, memperkukuh rantaian bekalan negara dan memastikan usahawan tempatan menjadi pemain utama dalam sektor-sektor strategik masa depan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img