POLIS memburu seorang lelaki yang menyamun sebuah farmasi di Taman Sepakata, Kuala Kedah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek datang ke tempat kejadian pada jam 8.56 pagi hari ini untuk membeli ubat selsema.
Menurutnya, ketika di kaunter untuk membuat pembayaran, suspek mengeluarkan wang RM10 namun tiba-tiba mengeluarkan pisau pemotong daging.
“Suspek meminta pengadu membuka mesin wang sebelum masuk di kawasan kaunter dan mengambil wang hasil niaga kira-kira RM250 sambil mengacukan pisau kepada pengadu.
“Suspek kemudian melarikan diri dari premis itu selepas mengambil wang berkenaan. Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Basri berkata, rakaman percakapan pengadu sudah diambil dan mangsa menyatakan ketika itu dia sedang bersiap untuk membuka kedai, sebelum didatangi lelaki yang berpakaian jaket hitam, seluar track hitam (tepi belang putih), memakai pelitup muka, kaca mata hitam dan topi warna hijau.
Menurutnya, usaha untuk mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.


