SEYYED Mojtaba Hosseini Khamenei secara rasmi dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi ketiga Iran selepas dipilih dengan majoriti besar undi oleh Majlis Pakar Iran.
Menurut laporan Tasnim News Agency, majlis tersebut membuat keputusan berkenaan dalam satu sidang tergempar yang diadakan susulan pemergian pemimpin tertinggi sebelum ini, Ali Khamenei.
Dalam kenyataan rasmi, Majlis Pakar memaklumkan bahawa proses pemilihan pemimpin baharu dilakukan segera walaupun negara berada dalam keadaan konflik dan berdepan ancaman keselamatan. Mereka menegaskan bahawa langkah pantas itu diambil bagi memastikan negara tidak mengalami kekosongan kepimpinan.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa beberapa pejabat sekretariat Majlis Pakar dilaporkan menjadi sasaran serangan yang menyebabkan beberapa kakitangan dan anggota keselamatan terkorban.
Majlis tersebut menegaskan bahawa selepas menjalankan penelitian mendalam serta berdasarkan peruntukan Perlembagaan Iran, para anggota bersetuju secara majoriti melantik Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu negara.
Majlis Pakar menyeru rakyat Iran termasuk golongan ulama, akademik dan masyarakat umum supaya memberikan sokongan serta kesetiaan kepada kepimpinan baharu demi mengekalkan perpaduan dan kestabilan negara.


