SEORANG pemandu lori dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa, minggu lalu.
Tertuduh, S. N. Ponchu, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi wang rasuah berjumlah RM1,192 kepada seorang anggota penguat kuasa di Jalan Samarinda, Seksyen 36, pada kira-kira jam 4.15 petang, 7 Mac lalu sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan tangkap terhadapnya.
Tertuduh didakwa memiliki dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira dua gram ketika kejadian.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula hari ini serta denda RM7,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM1,192 itu dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia melalui SPRM.


