SEORANG lelaki warga emas maut manakala anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres membawa 15 penumpang di Kilometer 95, Jalan Lipis-Merapoh, di Lipis petang semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Safein Ab Rahman, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pemandu dan semua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mangsa bersama anaknya yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil dalam perjalanan pulang dari arah Lipis ke rumahnya di Kampung Mentara Lama, Gua Musang selepas selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik.
“Bas ekspres dipandu lelaki berusia 30 tahun pula dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Klang, Selangor.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, bas yang sedang bergerak lurus terlanggar kereta dipandu mangsa dipercayai keluar simpang secara tiba-tiba,” katanya.
Ismail berkata, pemandu bas telah membrek dan cuba mengelak namun terlanggar kereta dinaiki dua beranak itu.
“Berikutan itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


