Pasangan kekasih cedera dipukul, dirompak rakan baik sendiri

TINDAKAN sepasang kekasih yang membantu rakan lelaki dalam kesusahan hanya sia-sia apabila kenalan itu membawa beberapa individu lain merompak kediaman mereka di Kepong sebelum melarikan kereta baru-baru ini.

Malah suspek bersenjatakan parang dan alat renjatan elektrik turut memukul pasangan itu hingga cedera.

Mangsa perempuan yang ingin dikenali sebagai Chua, 32, berkata, kejadian berlaku di tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Manjalara, Kepong pada jam 6.38 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan teman lelakinya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita yang memecah masuk ke dalam rumah untuk merompak.

“Kami terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati pintu bilik ditendang. Selepas itu, lima individu yang membawa parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf menyerbu masuk ke dalam bilik,” katanya, lapor Harian Metro.

Chua berkata, dia dan teman lelakinya terkejut dan tidak sempat bertindak ketika diserang sehingga mengalami kecederaan di badan.

“Demi keselamatan diri, kami terpaksa menuruti arahan mereka dengan menyerahkan semua barangan berharga termasuk wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta kunci kereta milik seorang rakan yang disimpan di rumahnya.

“Mereka turut melarikan sebuah kereta Honda Civic berwarna perak milik rakan saya,” katanya.

Katanya, salah seorang itu adalah rakan baik teman lelakinya yang mana mereka berdua pernah beberapa kali membantu lelaki itu serta memberinya tempat tinggal.

“Namun beberapa hari lalu teman lelaki saya ada bertengkar dengan rakannya itu sebelum dia berpindah keluar.

“Tidak sangka dia kemudian datang bersama individu lain untuk melakukan rompakan, menyebabkan kami kerugian RM6,000 manakala kereta rakan dibawa lari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan mereka didatangi oleh empat lelaki di bilik sewa rumah di Bandar Manjalara Kepong, Kuala Lumpur yang mana salah seorang dikenali dan seorang wanita.

“Suspek masuk ke dalam rumah dan berlaku pertengkaran mulut, semasa melarikan diri suspek mengambil kunci kereta Honda City, tiga telefon bimbit dan dokumen peribadi.

“Susulan itu, polis menahan dua lelaki di sebuah hotel di Cheras pada jam 3.30 pagi ini bagi bantu siasatan dan rampasan bersabit kes.

“Permohonan reman kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 20 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img