SEPASANG kekasih dijatuhi hukuman tiga sebatan dan denda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan khalwat berulang, Januari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menetapkan hukuman dilaksanakan di Penjara Marang pada jam 10 pagi, 7 Jun depan selepas tamat tempoh rayuan 14 hari.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan pasangannya, Tengku Nur Fariesha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, seorang pembancuh kopi, didapati berkhalwat di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira jam 3.15 pagi, 15 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021.
Menurut fakta kes, pasangan itu ditahan dalam satu serbuan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah.
Dalam penghakimannya, Nik Mohd Shahril menyifatkan kesalahan dilakukan sebagai serius kerana membabitkan kesalahan berulang.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini pernah ditangkap atas kesalahan sama pada Januari tahun lalu dan dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei 2025.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu pelaksanaan hukuman.


