Pasangan kekasih jadi ‘calling centre’ penipuan pinjaman didenda RM3,000

SEPASANG kekasih menerima padah apabila didenda RM3,000 seorang oleh Mahkamah Majistret Muar, hari ini selepas mengaku bersalah terbabit sebagai pusat panggilan (calling centre) kepada sindiket penipuan pinjaman peribadi tidak wujud.

Majistret Kartini Kasran turut memerintahkan Tan Sze Pei, 26, dan teman lelakinya, Lau Chun Hong, 27, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa berpakat menjalankan kegiatan menawarkan pinjaman dalam talian tidak wujud di sebuah premis di Taman Sri Jeram, Jalan Bakri, Muar, pada 15 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(2) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas premis terbabit disyaki dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pinjaman dalam talian.

Hasil serbuan, polis merampas beberapa barangan termasuk komputer riba dan pelbagai jenis telefon bimbit dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Siasatan lanjut turut mendapati aktiviti itu mempunyai kaitan dengan sembilan laporan polis yang dibuat mangsa sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fatimah Zahra Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img