DUA orang terbunuh dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Johor Bahru-Mersing hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata,Nissan Sentra dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dilaporkan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga dinaiki empat beradik.
“Kita menerima maklumat daripada orang awam pada jam 9.45 pagi mengenai kemalangan maut. Nissan Sentra dinaiki pasangan kekasih, manakala wanitanya warga tempatan berusia 25 tahun.
“Proton Saga pula dipandu seorang wanita tempatan berusia 23 tahun bersama tiga penumpang lelaki, juga warga tempatan berusia antara 16 hingga 21 tahun.
“Nissan Sentra itu bergerak dari arah Mersing ke Johor Bahru, manakala Proton Saga dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Kuantan, Pahang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Yusof berkata, pemandu dan penumpang hadapan Nissan Sentra yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini bagi tujuan prosedur siasatan.
“Mangsa dalam Proton Saga pula dirujuk ke HKT bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


