Dua cubaan seludup dadah ke Singapura gagal, seorang rakyat Malaysia ditahan

PIHAK Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) berjaya menggagalkan dua cubaan berasingan untuk menyeludup dadah terkawal ke negara itu menerusi pusat pemeriksaan darat.

ICA melalui kenyataan melalui Facebook memberitahu, dalam kes pertama 17 Mac lalu di Pusat Pemeriksaan Tuas, sebuah motosikal berdaftar Malaysia telah diarahkan untuk pemeriksaan lanjut.

Kata agensi itu, hasil pemeriksaan mereka menemui beberapa bungkusan hitam yang disyaki mengandungi dadah di dalam kotak belakang motosikal tersebut.

‘’ Pegawai daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) kemudian dipanggil untuk menjalankan siasatan lanjut. Secara keseluruhan, sebanyak 25 bungkusan dipercayai mengandungi dadah ditemui, melibatkan kira-kira 14 kilogram heroin, 2.6 kilogram syabu (‘Ice’) dan 190 gram pil ekstasi. Lanjutan itu seorang lelaki warga Malaysia berusia 29 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, ‘’ kata kenyataan tersebut.

Dalam kes kedua pula sehari selepas itu, menurut ICA, di Pusat Pemeriksaan Woodlands, seorang penumpang dalam kenderaan berdaftar Malaysia turut diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut.

‘’Pemeriksaan mendapati satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah disembunyikan di bahagian pinggang berhampiran kawasan sulit. Pemeriksaan lanjut oleh CNB turut menemui pelbagai peralatan berkaitan dadah dalam milik suspek,’’ kata ICA.

Kata agensi itu, kira-kira 81 gram ganja telah dirampas dalam operasi tersebut.

‘’Seorang lelaki warga Singapura berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut’’ kata kenyataan tersebut.

ICA dalam kenyataan itu juga menegaskan komitmen berterusan sebagai “penjaga sempadan” dalam memastikan keselamatan negara, di samping melancarkan urusan perdagangan dan perjalanan di pintu masuk Singapura.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img