Iran serang balas bandar berhampiran tapak nuklear Israel, Netanyahu berang

KOR  Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan bahawa kawasan selatan dan utara wilayah Palestin yang diduduki telah menjadi sasaran dalam gelombang ke-73 Operasi “Wa’ad Sadiq 4”, yang dilancarkan dengan kod “Ya Haidar (AS)”.

Serangan tersebut, menurut kenyataan itu, dilaksanakan sebagai penghormatan kepada keberanian anggota pertahanan udara yang terkorban, dengan penggunaan peluru berpandu dan dron oleh pasukan aeroangkasa IRGC secara “keras dan tegas”.

Televisyen negara Iran menyifatkan serangan itu sebagai “tindak balas” terhadap apa yang dikatakannya sebagai serangan ke atas kompleks pengayaan nuklear Natanz di Iran pada awal pagi semlam.

Kenyataan IRGC turut mendakwa bahawa kemudahan ketenteraan serta pusat keselamatan Zionis di bandar Arad, Dimona, Eilat, Be’er Sheva dan Kiryat Gat di selatan wilayah tersebut telah diserang dengan tepat selepas sistem pertahanan udara Israel didakwa runtuh.

Selain itu, pangkalan tentera Amerika Syarikat di Al Salem, Minhad dan Al Dhafra juga disebut sebagai antara sasaran, menggunakan peluru berpandu jenis Fattah, Qadr dan Emad serta dron pemusnah.

Berdasarkan laporan lapangan, Iran mendakwa lebih 200 orang dilaporkan terbunuh dan cedera dalam beberapa jam pertama serangan.

Kenyataan itu turut mendakwa pihak berkuasa keselamatan Israel meningkatkan tekanan terhadap wartawan dan saksi bagi menyekat laporan mengenai kemusnahan serta jumlah korban.

Dalam masa sama, kenyataan tersebut memuji peranan Hezbollah dalam mempertahankan kedaulatan wilayah Lubnan dan membuka medan pertempuran sengit di bahagian utara serta tengah wilayah yang diduduki, sambil mengucapkan tahniah kepada rakyat Lubnan dan umat Islam di rantau itu.

Kenyataan itu juga menggambarkan keadaan penduduk di wilayah berkenaan sebagai semakin meruncing susulan konflik yang dipersalahkan kepada kerajaan perang pimpinan Benjamin Netanyahu.

Ia turut menyatakan bahawa penduduk yang tinggal berhampiran kemudahan nuklear dan ketenteraan berdepan risiko keselamatan yang semakin ketara.

Menurut kenyataan tersebut, “persamaan perang” kini berubah dengan pantas dan keupayaan tentera Israel untuk mengawal pertahanan wilayah Palestin yang diduduki didakwa semakin merosot.

Sementara itu, Israel terus berusaha menyembunyi fakta kejadian itu apabila pasukan penyelamatnya berkata, hanya lebih 100 orang cedera dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas bandar Dimona itu yang menempatkan kemudahan nuklear utama Israel dan kawasan berhampiran Arad.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, ketika mengulas mengenai serangan itu, menyifatkannya sebagai malam yang “sukar” buat Israel, dan sekali lagi berjanji untuk terus menyerang Iran, yang serangan AS-Israel sejak 28 Februari telah mengorbankan lebih 1,500 orang, termasuk lebih 200 kanak-kanak, menurut media negara Iran.

Jurucakap tentera Israel berkata sistem pertahanan udara Israel diaktifkan semasa serangan, tetapi gagal memintas beberapa peluru berpandu, walaupun ia bukan jenis yang “istimewa atau tidak dikenali”.

“Di kedua-dua Dimona dan Arad, pemintas dilancarkan tetapi gagal menangani ancaman tersebut, mengakibatkan dua hentaman terus oleh peluru berpandu balistik dengan kepala peledak seberat ratusan kilogram,” kata anggota bomba.

Nour Odeh dari Al Jazeera, yang melaporkan dari Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, berkata tiga tapak kesan hentaman berasingan dikenal pasti di seluruh Dimona, dengan sebuah bangunan tiga tingkat runtuh sepenuhnya dan beberapa kebakaran berlaku.

Rakaman saksi yang disahkan oleh Al Jazeera, yang dilarang beroperasi di dalam Israel, menunjukkan peluru berpandu mengenai bandar itu, diikuti oleh letupan besar.

Sesi persekolahan di Majlis Wilayah Ramat Negev di sekitarnya dibatalkan untuk keesokan harinya.

Awal Sabtu, tentera Israel mengumumkan ia menyerang kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Universiti Malek Ashtar di Tehran, yang menurutnya digunakan untuk membangunkan komponen senjata nuklear dan peluru berpandu balistik.

Pihak tentera berkata ia “tidak akan membenarkan rejim Iran memperoleh senjata nuklear”.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img