Sumud Nusantara sahkan lapan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel

SUMUD  Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat 6 petang ini (waktu Malaysia).

Aktivis Zainal Rashid Ahmad ditahan pada 5 petang ketika sedang belayar menaiki kapal Amanda, manakala Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas pada 5.20 petang.

Tiga rakyat Malaysia S Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin yang menaiki Ferluto ditahan pada 4.50 petang.

Dua lagi yang ditahan ialah Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari. Kapal mereka, Cactus dipintas pada 4 petang.

Aktivis Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzzaman yang belayar dengan kapal Josef/Yusuf ditahan pada 5.35 petang.

Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ketika kejadian intimidasi berlaku, flotila berada kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa, yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unclos).

“SNCC melaporkan bahawa pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju ke arah flotila selain kehadiran dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan berhampiran dengan kawasan operasi flotila,” katanya dalam sidang media perkembangan misi GSF 2.0 hari ini.

Beliau berkata, 11 kapal flotila dipintas, dihampiri dan dikenakan tindakan gangguan langsung oleh pihak IOF, iaitu Cactus, Zio Faster, Holy Blue, Ferluto, Kyriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isobella, Josef dan Tenaz (Freedom Flotilla).

Selain itu, katanya, dua kapal yang ditahan pihak IOF melibatkan delegasi Sumud Nusantara Pakistan, iaitu Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad (kapal Zio Faster) dan Andi Anga Prasadewa dari Indonesia yang menaiki kapal Josef.

Sani Araby berkata, 41 kapal flotila termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan oleh pihak IOF.

“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotila dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla,” katanya.

“SNCC menyeru masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia dan komuniti maritim dunia untuk memberikan perhatian serius terhadap tindakan intimidasi dan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh misi kemanusiaan awam ini di perairan antarabangsa.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img