TINDAKAN Israel mengadakan pakatan jahat dengan Amerika Syarikat (AS) mula ‘makan diri’. Dari sebuah peperangan yang mereka anggap mudah kini ia bertukar menjadi petaka kepada Zionis.
Selain beberapa bandar termasuk Tel Aviv semakin hancur berikutan serangan balas Iran bagi mempertahankan kedaulatan Republik Islam itu, rejim Zionis juga berhadapan masalah kekurangan anggota tentera yang kritikal.
Sehubungan itu pembangkang Israel menuduh Perdana Menteri negara itu yang juga pengganas antarabangsa, Benjamin Netanyahu sedang membawa negara itu kepada bencana keselamatan.
Pemimpin pembangkang, Yair Lapid, berkata keupayaan Israel Defense Forces (IDF) kini berada pada tahap maksimum dan tidak lagi mampu menampung tekanan operasi semasa.
“IDF telah melampaui had keupayaannya. Kerajaan meninggalkan pasukan yang cedera di medan perang,” katanya seperti dipetik TRT World.
Kenyataan itu merujuk kepada taklimat Ketua Staf IDF, Eyal Zamir, dalam mesyuarat Kabinet yang mendedahkan kekurangan anggota di medan tempur. Media tempatan turut melaporkan beliau memberi amaran bahawa IDF kini “di ambang keruntuhan”.
Lapid turut mendakwa kerajaan menghantar tentera ke medan perang tanpa strategi jelas serta dengan jumlah anggota yang tidak mencukupi.
Menurutnya, anggota simpanan kini terpaksa menjalani antara enam hingga tujuh pusingan penugasan, menyebabkan keletihan serius dan menjejaskan kesiapsiagaan mereka.
Beliau menggesa kerajaan supaya segera merekrut komuniti Haredi, yang sejak penubuhan Israel pada 1948 dikecualikan daripada wajib ketenteraan atas alasan pengajian agama.
“Kerajaan perlu berhenti bersikap pengecut, hentikan semua pembiayaan kepada golongan Haredi yang mengelak khidmat tentera, dan rekrut mereka tanpa ragu,” tegasnya.
Sementara itu, jurucakap tentera Brigedier Jeneral Effie Defrin mengakui keperluan mendesak untuk menambah anggota di barisan hadapan, khususnya di sempadan Lebanon.
Menurut beliau, keperluan tambahan turut melibatkan operasi di Tebing Barat, Semenanjunga Gaza dan Syria, sekali gus mencerminkan tekanan berterusan terhadap keupayaan ketenteraan Israel di pelbagai medan.


